Penerima zakat teruja terima kunjungan diraja
MENGKEBANG - Empat keluarga yang menerima kunjungan Diraja dekat sini kelmarin melahirkan rasa bertuah mereka kerana buat julung kalinya Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra Ibni Sultan Ismail Petra mencemar duli menziarahi teratak mereka dekat sini kelmarin sempena pengurniaan bantuan zakat oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
Daripada 50 penerima bantuan zakat tersebut, empat buah kediaman terpilih untuk diziarahi oleh Tengku Mahkota iaitu di Kampung Lembah Sentosa.Menurut salah seorang penerima kunjungan, Mohd Razmi Awang, 47, dia merasa teruja kerana tidak pernah bersua dengan Tengku Mahkota secara dekat seumur hidupnya.
“Saya hanya diberitahu oleh penghulu mengenai kunjungan Tengku Mahkota ini sejak seminggu lalu. Saya tidak sangka teratak usang kami sudi diziarahi baginda.“Apapun kami sekeluarga menjunjung kasih di atas kunjungan baginda yang sudi meluangkan masa bertanya khabar kami penduduk di sini,” ujarnya ketika ditemui Sinar Harian semalam.
Mohd Razmi layak menerima bantuan zakat tersebut kerana dia seorang penoreh getah pawah bersama isteri, Wan Normala Che Salleh, 44, bersama tujuh anak mereka.Dua anaknya kini melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Kuala Lumpur dan Universiti Teknologi Mara, Pahang.
Manakala empat lagi anaknya masih berada di bangku sekolah rendah dan menengah berhampiran dan anak bongsunya hanya berusia enam tahun.Sementara itu, seorang lagi menerima kunjungan, Mohd Ramli Awang, 41, berkata, dia menjunjung kasih di atas kesudian Tengku Mahkota mencemar duli melawat kediamannya sekali gus mengeratkan kasih rakyat jelata terhadap keluarga Diraja.
Katanya yang berbangga dengan kehadiran Tengku Mahkota kerana tidak penah termimpi selama ini mereka akan diziarahi oleh baginda.“Ia seperti suatu rahmat dapat bersua dengan baginda yang sudi mengunjungi teratak kami.“Kami juga merakamkan penghargaan kepada seluruh warga kerja terlibat termasuk penghulu, wakil rakyat dan Pejabat Tanah dan Jajahan yang memilih kampung kami ini untuk diziarahi,” ujarnya.
Katanya, dia berharap dengan kunjungan tersebut dapat membangkitkan semangat dan cita-cita anaknya untuk berjaya dan berbakti kepada agama, bangsa dan negara suatu hari nanti.Kini anak sulung pasa-ngan Mohd Ramli dan Siti Nor Dollah, 39, sedang melanjutkan pelajaran di UIA Kuala Lumpur.
Katanya, penghargaan juga perlu diberikan kepada MAIK yang sudi menyalurkan agihan zakat tersebut ke kampung mereka yang mana kebanyakan penduduknya adalah penoreh getah dan bergantung sepenuhnya kepada hasil tersebut.
Kelmarin, dalam ucapan Pegawai Jajahan Kuala Krai, Ismail Samah memberitahu, jajahan ini seperti juga jaja-han lain yang sebilangan besar penduduknya terlibat dalam sektor pertanian sebagai sumber ekonomi utama.
Katanya, seperti mana umum sedia maklum, pendapatan dari sektor pertanian negeri ini tidak stabil kerana bergantung kepada keadaan cuaca di samping penggunaan teknologi yang rendah.Katanya, ekoran itu, tidak hairanlah masih ramai penduduk jajahan ini yang masih memperoleh pendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak mampu untuk membeli barangan keperluan harian mereka.
Sehubungan itu, Ismail menyeru kepada golongan berada di dalam jajahan Kuala Krai untuk terus mengeluarkan zakat dan menderma bagi membantu golongan daif dan tidak berkemampuan untuk sama-sama menikmati kehidupan dunia